Sunday, May 27, 2012

Srikandi Pertama Yang Syahid Di Lautan


Terdapat satu kisah yang menarik yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik. Ia berkenaan seorang wanita yang bercita-cita tinggi. Cita-citanya luar biasa. Cita-cita itu menyerlahkan gah wanita pada awal perkembangan Islam.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW, menuju ke rumah Ummu Haram binti Milhan. Ummu Haram menyediakan makanan kepada Baginda dan duduk di sisi Baginda sehingga Baginda terlelap di rumah beliau. Dikatakan bahawa Ummu Haram merupakan ibu susuan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW biasa bermalam di rumah Ummu Haram.

Tidak beberapa lama kemudian, Rasulullah SAW tersedar dan ketawa. Ummu Haram berasa hairan, lalu bertanya : “Apa yang membuatkanmu ketawa, wahai Rasulullah?”

“Allah dilihatkan sekelompok manusia daripada umatku kepadaku. Mereka berperang di jalan Allah dan berlayar di tengah-tengah lautan iaitu raja-raja atas pasukannya atau laksana para raja yang memimpin pasukannya.”

Ummu Haram yang takjub mendengarnya, tiba-tiba mendambakan sesuatu. Dambaannya itu disuarakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, doakanlah agar aku termasuk dalam kalangan mereka.” Rupa-rupanya Ummu Haram ingin berperang di jalan Allah.

Rasulullah SAW mengangguk sambil mendoakan Ummu Haram agar impiannya menjadi kenyataan, kemudian menyambung tidurnya. Tidak beberapa lama kemudian, Rasulullah SAW tersedar kembali dan tertawa. Ummu Haram yang melihat gelagat itu tertawa lagi dan bertanyakan sebabnya.

Rasulullah SAW menjawab maksudnya: “Allah perlihatkan sekelompok manusia daripada umatku kepadaku. Mereka berperang di jalan Allah dan berlayar di tengah lautan.” Sama seperti sebab sebelumnya.

“Doakanlah agar aku termasuk dalam kalangan mereka wahai Rasulullah.” pinta Ummu Haram beria-ia.

Rasulullah SAW seterusnya bersabda yang bermaksud: “Engkau termasuk dalam golongan yang mula-mula.”

Menurut Anas bin Malik, Ummu Haram kemudiannya keluar berperang bersama-sama suaminya ‘Ubadah bin al-Samit. Ketika sedang menunggang seekor binatang, dia tercampak ke laut dan meninggal dunia. Ummu Haram diiktiraf syahid dan merupakan wanita pertama yang syahid di lautan. Apa tidaknya, itulah cita-cita agungnya.

Subhanallah.




No comments:

Post a Comment